Wednesday, September 24, 2008

Harimau Sakit

taken from deviantart.com



Taringnya mulai goyang,

Langkahnya terhuyung-hayang,

Tajam matanya semakin berbayang,

Ngauman garang menjadi sumbang.

Inilah kisah si Raja Rimba,

Belang terang merah menyala,

Mahkota kuning bercahaya,

Kini pudar dimamah usia.

Berjiran rimba seekor Singa,

Manis senyuman talam bermuka,

Yang senantiasa licik mengatur agenda,

Menyingkirkan Sang Harimau dari takhta.

Inilah cerita Harimau Sakit,

Kudis bernanah di badan perit,

Dada bernafas semakin sempit,

Ajal datang mati menjerit.

Jangan harapkan zoo atau perhilitan,

Kita rakyat, kitalah tuan,

Tanggungjawab kita menahan beban,

Semangat harimau kembali dihidupkan.

Kita megahkan ngauman Negaraku,

Janganlah ada sikap Engkau-Engkau, Aku-Aku,

Kita gemilangkan merah, kuning dan biru,

Semoga selalu Jiwa Bersatu.



Harimau Malaya - Malaysia

Monday, September 22, 2008

4 elements - 1 Nation (we are Malaysian)


we were once a great nation, ruled by great people.owned by great citizens. But that glory has faded into the harsh rolling wave of what-so-called 'Keadilan Rakyat'. I am not blaming Anwar Ibrahim for his charismatic figure nor am I pointing on Pak Lah drowsy eyes. I am cursing myself...clenching my anger towards our people...the rakyat. We are not politicans, we are not ministers, we are not those theocratic person. We are the inheritors of this 'water&earth'..but how could we pollute the water with 'fire of hatred' and 'air of vengence'?Aren't we supposed to be ONE? do not misuse the elements GOD has been giving us through 51 years of freedom. Be grateful, and combine the fire, air, water, and earth together. Combine those elements into one Nation.

Tuesday, September 16, 2008

Kerana RM 16…



Salah seorang wanita yang selamat terbaring di tengah-tengah mayat fakir miskin dan mereka yang cedera dalam kejadian berasak-asak merebut wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16) di Pasuruan, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, sebanyak 23 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan apabila kira-kira 5,000 fakir miskin berebut-rebut untuk menerima bantuan zakat daripada seorang peniaga di Pasuruan, semalam.



Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini, 16 September 2008 menyiarkan berita tentang kejadian 23 orang fakir miskin yang mati lantaran berebutkan wang zakat RM 16.



Kejadian berlaku apabila seramai 5000 orang penduduk berasak-asak untuk mendapatkan

wang zakat daripada seorang ahli perniagaan di Purworejo, Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur Jakarta.



Mereka semua sanggup berebut sesama sendiri, tak kira perempuan atau lelaki, untuk mendapat sesuap rezeki.Berita ini sungguh menyedihkan, keperitan hidup insan seberang, yang tak cukup minum tak cukup makan, bergadai nyawa bukan kepalang .



Apabila mengenangkan peristiwa ini, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana berada di bumi Malaysia. Makanan melimpah ruah, kehidupan rakyat yang tidaklah susah, walaupun sekali-sekala kesusahan menjengah.



Ini tidak, dengan kehidupan semewah ini, kita masih saling mendengki, bargaduh kerana berlainan parti, berpecah kerana berbeza ideologi. Insaflah semua, selagi rezeki tuhan kurnia, jangan dikufur nikmat yang ada, jangan dikorban perpaduan dibina.



Dalam kita berjalan ke hadapan, jangan tidak menoleh ke belakang, sesama kita bersengketa jangan, bukan sekadar menjadi petualang.



Janganlah sebab kau sokong dacing, maka kita tak boleh nak kamcing. Kau pula bendera bulan, buat apa aku nak hiraukan. Inilah dia ragam rakyat Malaysia, politik lebih dari segala.

Puitis Seorang Islamis- part 2

Islamkah aku?

Syahwatku kujadikan raja,

Tak pernah malu untuk berdua,

Peluk cium dekati zina.

Islamkah aku?

Bila ibuku kupanggil dungu,

Bila ayahku selalu kutipu,

Betapa berat dosa dibahuku.

Islamkah aku?

Tokoh Ulama aku tak tahu,

Artis barat ku anggap maju,

Orang nasihat kuanggap hantu.

Waraskah akalku?

Bila nafsu sering menipu,

Sering kalah tanpa berbalah,

Tunduk tak mampu menyampuk.

Sering kali kita gering,

Bila akal hanya berbaring,

Tak daya untuk bertanding,

Dengan nafsu yang bertaring.

Sentaklah akalmu hai manusia,

Jangan biarkan dirimu teraniaya,

Hanya kerna nafsumu beriya-iya,

Meleburkan akal yang tak bermaya.

Akal atau nafsu?

Mana satu kau bagi lalu,

Untuk kau pandu selalu,

Dalam jalan hati yang lesu.

Tuhan tak pernah berbohong,

Cuma hambaNya yang acap sombong,

Diberi akal sebagai bekal,

Namun nafsu tetap menebal.

Mungkin di mahsyar baru kau sedar,

Di waktu itu tak perlu kau merayu.

Kerna nafsu hanya akan ketawa,

Sebab bodohnya akalmu di dunia.

Wahai Tuhan kami,

Ampunilah dosa-dosa kami,

Sucikanlah hati-hati kami,

Sediakanlah Jannah buat kami,

Amin,Ya Tuhan kami



Sunday, September 14, 2008

Korang ingat senang ke jadi PM?



Politik memang perfektionis,
hanya yg sempurna dianggap manis,
yang tersasul disindir sinis,
yang tersilap diherdik sadis.
Pak Lah juga manusia biasa,
perlu rehat dan juga masa,
kalau terlelap perkara berdosa,
mengapa kau tersengguk khutbah dibaca?
Pak Lah juga perlukan tidur,
bukan 24jam perlu di kantor,
memikir cara melawan koruptor,
pakatan Rakyat bermain kotor.
Muak aku dengan politikus,
menganggap mereka sempurna mulus,
kasihan Pak Lah deserang rakus,
ibarat budak masih berhingus.
Kita Rakyat harus bijak bertindak,
tak semestinya Pakatan Kita yang Hak,
sedarlah pemimpin diatas tak semuanya ikhlas,
jangan harap bodekanmu akan dibalas.

"Sokonglah PM sepenuh hati, sebelum dia pergi mencari damai abadi."

Puitis Seorang Islamis- part 1



Islamkah aku?

Bila nafsuku sering menipu,

Menundukkan iman hingga tak mampu,

Memekikkan hak yang batil ditidak.

Islamkah aku?

Bila solatku lompong dan haru,

Tak tepat masa, tak tetap waktu,

hingga lupa sebab hidupku.

Islamkah aku?

Bila puasa sekadar berlapar,

Tak tahan nafsu dengan bersabar,

Hasil pahalaku hanyalah hambar.

Islamkah aku?

Saudaraku susah aku tak bantu,

Pengemis di tepi ku sekadar lalu,

Tanpa ku hirau sedekah jariahku.

Islamkah aku?

Hukum tuhan tak pernah ku endah,

Sunnah Nabi hanya ku ludah,

Selalu kutinggal Quran dan sejadah.

Islamkah aku?

Mahkota kuhidang untuk neraka,

Tubuh gebu tatapan bersama,

Lurah dan gunung orang teroka.

Islamkah aku?

Bila yang haram ku tetap jamu,

Tak pernah kesah, tak pernah jemu,

sanggup ku kongsi dengan tetamu.

Islamkah aku?

Umpat keji ibarat lagu,

menjadi siulan saban waktu,

Sanggup kujamah daging saudaraku.

Islamkah aku?

Ilmu dunia kugilakan selalu,

Ilmu akhirat kutinggal berbatu,

Tanpa kusedar ceteknya imanku.



Saturday, September 13, 2008

Sa-buah Rumah bernama 'Malaysia'


Coretan ini tentang sebuah rumah bernama ‘Malaysia’. Ibubapanya terdiri dari Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja, Perdana Menteri dan Parlimen berkuasa. Abang sulung dalam keluarga ialah Melayu dan Bumiputera. Anak Kedua Cina yang rajin bekerja. Dan anak Bongsu kecil ialah India. Anak-anak ini hidup aman dan bahagia sebagai adik beradik berkeluarga ,bagai isi dengan kuku, walaupun kadang perbalahan berlaku. Ibu Bapa bijak menjaga, yang silap dibetulkan, yang elok ditonjolkan. Abang Sulung yang lahir dahulu, lebih tua dan merasa perih hidup dan susah derita. Layaknya dia dihormati kerana dia yang Pertama. Walaupun dia hanya nelayan dan petani sahaja. Anak Kedua yang lahirnya mendapat bahagia, berjaya, dan kaya. Hidup mewah sebagai peniaga. Namun masih perlu homat pada Abang Sulung, yang banyak berkorban untuk dirinya. Anak Bongsu, masih kecil namun tetap dimanja, diberi apa yang diminta. Tapi tetap berpadanan dengan usia. Abang Sulung dan Abang Kedua memandu kereta, Adik Bongsu ingin juga. Walaupun tidak diberi kereta, namun tetap didukung bawa bersama. Inilah ragam di rumah bernama ‘Malaysia’, perlu hormat dan sayang semua. Tahu batas Hak dan Agama. Jangan ada yang pijak kepala.

Friday, September 12, 2008

Kisah si tembikai buruk

Pada suatu hari seorang ahli sufi yang termasyhur namanya bernama Syaqiq telah membeli sebiji tembikai. Kemudian, dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Maka, marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan itu.

Lalu, bertanyalah Syaqiq kepada isterinya, “Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu?” adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau PENCIPTA buah tembikai itu?”
Terdiam isterinya.

Kemudian, Syaqiq meneruskan kata-katanya, “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barangan yang terbaik. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka, ternyatalah marahmu itu engkau tujukan kepada PENCIPTA buah tembikai ini. Maka, bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Maka, menangislah isteri Syaqiq. Lalu, bertaubatlah dia dan redhalah dia dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Moral: Agaknya, sudah berapa kali kita memarahi Tuhan kerana memberikan kita buah-buahan yang buruk. Hakikatnya, manusia sering tergelincir lidah jauh lebih banyak daripada tergelincir kakinya. Dalam mempertikaikan sesuatu barang, mungkin kita tidak sedar yang kita sebenarnya telah mempertikaikan ciptaan TUHAN. Maka, marilah sama2 mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Dipetik daripada:
Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, MEMBINA JATI DIRI GEMILANG, Karya Bestari Sdn. Bhd. Cetakan Pertama 2004.

Jadi ke tak??


Shakespeare pernah berkata”To be or not to be, that’s the question.” Seluruh rakyat Malaysia pada hari ini tertanya-tanya bahawa jadi atau tak jadi sebenarnya berkenaan dengan pertukaran kerajaan pada tanggal keramat 16 September ini.

Ketika pihak kerajaan dengan bersungguh-sungguhnya menafikan akan adanya Ahli Parlimen mereka lompat parti, pihak satu lagi PKR pula dengan yakinnya mencanang bahawa tanggal 16 September merupakan satu realiti. Jadi, sebagai rakyat biasa, pada pihak manakah kita harus percaya?

Sebagai golongan marhaen yang tak punya kuasa, kita sekadar mampu memerhati saja, melihat pergelutan dan perebutan takhta negara. Justeru, walau siapapun yang menjadi penguasa, jangan dikorban rakyat jelata, jangan tergugat perpaduan kita. Agama Islam jangan dikorban, hak Melayu dipersoal jangan, Perlembagaan Negara jadi ikutan, hasutan perkauman dibenih jangan.

Sama ada BN terus berkuasa atau Pakatan Rakyat ke Putrajaya, ayuh sama-sama kita tunggu.

Tunggu, jangan tak tunggu…

Aku yang terfikir….

Setiap kali pergi ke pasar malam dan bazaar Ramadhan, tak kiralah di seksyen berapa, pasti mataku akan terpaku pada kewujudan peminta-peminta sedekah.

Ada golongan yang sudah tua uzur, ada kanak-kanak kecil yang meminta-meminta dan juga sesetengahnya golongan OKU yang tak berupaya.Lantas aku terfikir, mereka ini sememangnya meminta sedekah untuk survival diri sendiri ataupun manjadi mangsa sindiket?? Tapi aku tak punya jawapan.

Ketika ahli-ahli politik di Malaysia begitu bersemangat mencanang bahawa merekalah pejuang sebenar bangsa, sanggup berkorban apa saja demi rakyat jelata lantaran merekalah pemimpin prihatin pada semua.

Jadi, kalau benarlah prihatinnya mereka semua ini, mengapa masih wujud golongan-golongan yang meraih simpati di jalanan? Mengapa tiada pembelaan terhadap mereka yang benar-benar memerlukan? Ke mana perginya pemimpin-pemimpin yang berceramah dari pagi sampai ke malam?

Inilah dia politik, sarat dengan retorik, yang akhirnya mewujudkan polemik. Mangsanya siapa?? Siapa lagi kalau bukan kita semua..