Friday, September 12, 2008

Kisah si tembikai buruk

Pada suatu hari seorang ahli sufi yang termasyhur namanya bernama Syaqiq telah membeli sebiji tembikai. Kemudian, dia membawa tembikai itu pulang dan diberikan kepada isterinya. Apabila isterinya membelah tembikai itu untuk dimakan, ternyata buah tembikai itu tidak elok. Maka, marah-marahlah isteri Syaqiq dengan keadaan itu.

Lalu, bertanyalah Syaqiq kepada isterinya, “Kepada siapa engkau tujukan marahmu itu?” adakah kepada penjual, pembeli, penanam atau PENCIPTA buah tembikai itu?”
Terdiam isterinya.

Kemudian, Syaqiq meneruskan kata-katanya, “Adapun si penjual, sudah tentu mahu jualannya terdiri daripada barangan yang terbaik. Adapun si pembeli juga sudah tentu mahu membeli barangan yang terbaik. Bahkan si penanam juga sudah tentu berharap hasil tanamannya yang terbaik juga. Maka, ternyatalah marahmu itu engkau tujukan kepada PENCIPTA buah tembikai ini. Maka, bertaqwalah engkau kepada Allah dan redhalah dengan segala ketentuan-Nya.”

Maka, menangislah isteri Syaqiq. Lalu, bertaubatlah dia dan redhalah dia dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T.

Moral: Agaknya, sudah berapa kali kita memarahi Tuhan kerana memberikan kita buah-buahan yang buruk. Hakikatnya, manusia sering tergelincir lidah jauh lebih banyak daripada tergelincir kakinya. Dalam mempertikaikan sesuatu barang, mungkin kita tidak sedar yang kita sebenarnya telah mempertikaikan ciptaan TUHAN. Maka, marilah sama2 mengambil pengajaran daripada kisah ini.

Dipetik daripada:
Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, MEMBINA JATI DIRI GEMILANG, Karya Bestari Sdn. Bhd. Cetakan Pertama 2004.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.